SHAH ALAM: Pendakwah bebas, Datuk Ahmad Husam Muhamad Baderudin telah mengemukakan saman terhadap empat individu termasuk pegawai khas kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Menurutnya, pegawai khas yang juga orang kuat Najib, Muhammad Mukhlis Maghribi telah mendakwa beliau ditangkap oleh pihak polis atas kesalahan pengubahan wang haram (AMLA).

Jelasnya, saman tersebut turut dikemukakan kepada bekas Presiden Parti Keadilan Insan Tanah Air (KITA), Datuk Zamil Ibrahim yang melakukan ugutan supaya memberikan wang berjumlah RM400,000 bagi menyelesaikan kes polis.

“Saya ingin memaklumkan bahawa melalui peguam saya, satu writ saman telah diberikan kepada empat individu yang terbabit memfitnah serta memeras ugut saya.

“Selain itu, saman juga turut dikemukakan kepada Ku Muhammad Khairul Amzar Ku Ahmad dan juga Mohd Fairus Shaari @Mohd Fazil yang turut berpakat memfitnah saya.

“Saya tidak pernah dipanggil atau disiasat oleh mana-mana pihak berhubung siasatan di bawah AMLA seperti yang didakwa,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Pada 14 Disember lalu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan memaklumkan, polis membuka kertas siasatan berhubung dakwaan penularan gambar Zamil yang mengaibkan dan tular di laman sosial Facebook dan TikTok.

Menurutnya, kertas siasatan telah dibuka bagi menyiasat laporan polis dibuat Zamil yang mendakwa gambar dirinya memakai boxer diambil secara curi oleh individu tertentu sebagai cubaan mengaibkan dirinya.

Susulan itu, Ahmad Husam telah memberi keterangan kepada polis pada 17 Disember 2023 berhubung laporan polis yang dibuat oleh Zamil.

Mengulas lanjut, Ahmad Husam berkata, Zamil bersama dua lagi individu telah bertindak bertemu dengan salah seorang ahli keluarganya dan mendesak bayaran wang serta memfitnah dengan niat mencemarkan nama baik beliau.

Jelasnya, perkara tersebut dilakukan oleh individu berkenaan apabila beliau tidak melayan permintaan mereka sehingga mengakibatkan dirinya diugut serta difitnah.

“Mereka juga bertindak mencemar reputasi saya dengan harapan agar saya disekat daripada menyampaikan kuliah agama.

“Saya akan mendedahkan segala tindakan jahat serta pembohongan mereka ini di mahkamah nanti,” ujarnya.

- Sinar Harian